Friday, October 9, 2015

SELAMAT MENYAMBUT MA'AL HIJRAH 1437H


Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah Ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud:
'Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka'

Hijrah mengajarkan kita betapa pentingnya sikap cekal di dalam diri. Kecekalan kaum Muhajirin ketika berhijrah dengan merasai ranjau kepayahan, penderitaan, kehilangan harta dan keluarga serta penyeksaan merupakan aset pengajaran yang amat penting dalam membentuk jiwa yang kental kepada generasi muda masa kini. Kecekalan mereka yang berteraskan keyakinan bahawa janji kemenangan dan pertolongan Allah s.w.t pasti benar akhirnya berjaya merobek keangkuhan jahiliah dan menjadikan kebatilan tersungkur hina. Berbekalkan penghayatan nilai kecekalan inilah maka barisan pelapis umat ini berupaya cekal dan tabah dalam mengharungi cabaran alaf baru. Kecanggihan teknologi dan kelicikan tipu daya musuh Islam serta golongan munafik, tidak akan mampu menahan generasi ummah bangun mempertahankan Islam.

Untuk menuju ke alaf baru, generasi Islam khususnya perlu dibekalkan dengan ilmu. Ilmu dan pengetahuan adalah dua perkara yang saling kait-mengait. Orang-orang yang berilmu semestinya adalah seorang yang berpengetahuan. Ilmu dan pengetahuan tidak diperolehi dengan hanya bergoyang kaki dan berbual kosong, tetapi ilmu yang jitu dan mantap hanya diperolehi dengan pembacaan, pengkajian dan pembelajaran. (Salina binti Musa | Panel Penulis JAKIM)